Hari terus
berganti hari. Kehidupan manusia juga terus berjalan pantas seiring
dengan masa yang pantas berlari. Di celah-celah hari berwarna-warni
yang di jalani dan ditelusuri, tanpa disedari atau tidak, manusia
sebenarnya telahpun menempuh berbagai ujian dan dugaan duniawi.
Ujian-ujian yang diberi oleh Allah itu datang menyapa silih berganti
dalam pelbagai bentuk dan rupa. Setiap orang diuji olah Allah
berbeza-beza mengikut tahap kemampuannya.
“ Allah tidak
membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat
pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa
kejahatan yang dilakukannya… ( Al-Baqarah: 286)
ALLAH telah
menyatakan dengan jelas di dalam Al-Quran bahawa DIA tidak akan
sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. ALLAH
mengetahui kita kuat dalam menghadapi ujianNya, oleh kerana itu ALLAH
memberikan ujian itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa
sayang dan kasihnya ALLAH kepada kita sebagai hambaNya. ALLAH menguji
seseorang bukan kerana ALLAH benci kepada kita tetapi percayalah ALLAH
menguji kita kerana DIA sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai
hambaNya, adakala tidak mampu bertahan dan bersabar dalam menghadapi
ujianNya.
Hakikatnya saat ini, saat kita sedang mengecapi
bahagia, ada berjuta manusia di luar sana yang sedang dihujani ujian
atau dihimpit pelbagai derita. Ada di kalangan manusia di luar sana
yang saat ini sedang diuji dengan kehilangan orang tersayang. Tidak
kurang juga ada manusia yang diuji apabila apa yang diingini dan
diharapkan tidak terjadi dan diberi.
“ Kenapa aku yang diuji ? “
“ Mengapa aku diuji sebegini ?”
“ Ujian ini sangat berat. Aku tak mampu…”
Mungkin ini adalah antara persoalan dan keluhan yang meniti di bibir
atau berlegar di fikiran kita sebagai seorang hamba saat dihimpit dengan
secebis ujian. Kadangkala tanpa sedar dan niat kita juga terlanjur
marah pada DIA kerana menghujani kita dengan pelbagai ujian.
Tetapi, apabila kita menenangkan diri dan bermuhasabah kembali, tenyata
sebenarnya dengan ujian yang diberi kita adalah hamba yang beruntung .
Mengapa saya katakan begitu? Kerana ujian hanyalah diberi oleh Allah
kepada hamba-hambanya yang terpilih. Hamba-hambanya yang dikasihi dan
disayangiNya. Dan jangan kita lupa bersama ujian itu juga ada
pertolongan dari Allah sepertimana yang dinyatakan di dalam Al-Quran:
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal
belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku
kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah ditimpa
kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta
digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul
dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya)
pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat
(asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). (
Al-Baqarah: 214)
Sebagai manusia biasa, kita pastinya tidak
akan mampu menjangka bilakah ujian itu akan muncul tiba.
Walaubagaimanapun, jika kita mengetahuinya, apalah kudrat kita sebagai
seorang hamba yang kerdil lagi penuh dosa untuk menolak ujian-ujian yang
bakal menyapa itu. Jika direnungkan kembali, kita semua pastinya
pernah dan akan ditimpa ujian dari yang Maha Esa, tetapi saat ujian itu
tiba, mampukah kita menjadi manusia yang bersyukur dengan ujian itu dan
memandangnya sebagai hadiah pemberian Allah?
Manusia itu
sifatnya pelupa, Ada masanya dalam melayari kehidupan di dunia, kita
lalai dan leka pada hakikat yang nyata bahwa kita hanyalah hamba DIA
yang Esa. Jadi apakah sebenarnya yang mampu membangkitkan manusia dari
kelalaian dan kealpaan ini? UJIAN. Ya, Ujian. Ujian atau mehnah yang
menjengah dalam kehidupan kita itulah sebenarnya yang mampu mengejutkan
kita dari mimpi dunia yang panjang.
Allah Tuhan yang Maha
Mengetahui. Mungkin tanpa ujian-ujian dan dugaan yang dikirimkan khas
oleh DIA untuk kita, kita masih lagi menjadi seorang hamba yang hanyut
dan lemas dalam lautan kelalaian. Apa yang paling utama sebenarnya
adalah “ hadiah ” itu dikirimkan oleh Allah bertujuan untuk menilai
sejauh mana keimanan kita terhadapNya sepertimana yang dijelaskannya di
dalam Al-Quran:
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan
dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak
diuji (dengan sesuatu cubaan)? (Al-Ankabut: 2)
Justeru, marilah
kita sama-sama bermuhasabah dan menilai kembali segala prasangka buruk
yang mungkin pernah bermain di fikiran kita saat kita diuji. Inilah
saatnya bagi kita, saya dan anda yang sedang membaca, merubah fikiran
kita dan mula memandang ujian-ujian yang telah dan akan kita lalui
sebagai sebuah ‘ hadiah’ dari Allah dan bukan lagi satu bebanan. Apabila
kita benar-benar menyedari hakikat ini, maka kita akan menjadi seorang
hamba yang bersyukur dengan segala ujian yang diberi.
Pembaca yang dikasihi oleh Allah,
Jika anda saat ini sedang diuji, ingin saya sampaikan sesungguhnya bersyukur dan berbahagialah anda kerana
UJIAN itu HADIAH dari ALLAH